Rakyat Sarawak harus berubah ke arah kitar semula — Dr Sim


KUCHING, Jun 6: Masyarakat negeri ini perlu bersama-sama mengamalkan kitar semula dan menjaga alam sekitar, bagi membantu mengurangkan pembiayaan kerajaan negeri ke atas pengurusan sampah.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Kui Hian berkata ia kerana kerajaan negeri perlu membiayai sebanyak RM10 juta setahun untuk pengurusan sampah yang dibuang ke tapak pelupusan sampah.

Tambahnya, ia termasuk membayar sebanyak RM250 setiap tan sampah yang dikutip oleh syarikat-syarikat pengurusan sisa seperti Trienekens.


“Sudah tiba masa untuk rakyat Sarawak menyedari betapa pentingnya kitar semula dan menjaga alam sekitar supaya kekal bersih, kerana ini akan memberi manfaat kepada kehidupan semua orang,” katanya ketika menyempurnakan pelancaran mesin kitar semula di pusat beli-belah tHe Spring semalam.

Justeru, beliau memuji inisiatif tHe Spring yang tampil memperkenalkan mesin kitar semula yang imovatif di dalam pusat beli belah mereka, di mana ia bukan sahaja mengamalkan kitar semula bahkan mempromosikan kitar semula kepada orang ramai.

Mesin kitar semula tersebut adalah hasil ciptaan Universiti Teknologi Swinburne Sarawak, untuk mengitar semula botol plastik dan tin aluminium.

Keunikan mesin ini adalah ia secara layan diri, di mana ia juga akan mencetak token kepada orang ramai yang membuang botol plastik dan tin aluminium ke dalamnya.

Token-token tersebut yang dikumpul boleh digunakan untuk menebus barangan di premis-premis jualan terpilih di tHe Spring.

“Jangan kita memandang remeh tindakan kitar semula walau satu pun botol plastik kerana usaha kecil ini akan menyumbang kepada generasi masa depan dan persekitaran yang lebih baik,” kata Dr Sim.

Turut hadir pengurus besar pengurusan tHe Spring, Datin Christine Ling. — DayakDaily