Rakyat perlu terus sokong GPS, kata Penguang

Penguang (empat dari kanan) menyerahkan peruntukan MRP kepada Biro Wanita Rumah Nawah Sungai Tudan, Marudi.

MARUDI, Ogos 2: Masyarakat setempat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Marudi diseru supaya terus memberi sokongan kepada kepemimpinan kerajaan negeri yang dipimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi memastikan berlaku kesinambungan dalam agenda pembangunan negeri ini.

Menteri Muda Kerajaan Tempatan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi, Datu Dr Penguang Manggil berkata, rakyat perlu berfikir secara rasional kerana GPS yang terdiri daripada empat parti tempatan merupakan platform terbaik bagi menjaga dan melindungi hak-hak negeri ini.

Jelasnya, penduduk di DUN Marudi khasnya perlu mengelak daripada tersilap menilai yang terbaik bagi kawasan mereka khususnya dalam pilihan raya negeri akan datang.


“Kelangsungan kepemimpinan GPS sangat dituntut supaya agenda pembangunan negeri yang dirancang dapat dilaksanakan dengan baik demi kepentingan masa depan anak tempatan.

“Oleh itu kefahaman semua rakyat di sini sangat diperlukan supaya matlamat kerajaan GPS untuk menuntut hak-hak negeri yang terhakis selama ini dikembalikan semula kepada Sarawak,” katanya.

Tambah Penguang, rakyat juga perlu memberi terus sokongan penuh kepada kerajaan negeri agar transformasi pembangunan ke arah meningkatkan kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri tidak terjejas.

Ini kerana ujarnya, kerajaan negeri yang dipimpin GPS akan terus berusaha melakukan yang terbaik demi kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya.

“Jangan membuat kesilapan seperti dalam pilihan raya umum lalu hingga menyebabkan rakyat negeri ini membayar ‘harga yang mahal’ apabila terpaksa menunggu lima tahun lagi sebelum berpeluang memperbetulkan kesilapan berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, Penguang menggesa setiap tuai rumah membuka akaun bank bagi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) mereka sendiri bagi memudahkan penyaluran peruntukan projek kecil luar bandar (MRP).

Tegasnya, masyarakat luar bandar juga tidak mudah terpengaruh dengan maklumat yang tidak sahih berhubung Rang Undang-undang (RUU) Kanun Tanah (Pindaan) 2018 yang diluluskan dalam Persidangan DUN lalu.

“Jawatankuasa Kabinet Tanah Adat Bumiputera (NCR) dijangka mengadakan jerayawara pada September ini berhubung RUU Kanun Tanah (Pindaan) 2018 yang turut disertai oleh ketua-ketua masyarakat serta ahli-ahli majlis daerah,” katanya. — DayakDaily