Parti Pribumi Bersatu Malaysia kini bertapak di Lawas

Kelihatan barisan Jawatankuasa Bahagian PPBM Parlimen P222 Lawas.

LAWAS, Ogos 2: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) secara rasmi melebarkan sayap pergerakan parti itu ke Lawas dengan penubuhan Jawatankuasa Bahagian PPBM Parlimen P222 Lawas.

Penaja PPBM Sarawak, Johan Mohamad berkata, perjuangan parti itu adalah untuk memastikan masyarakat di Lawas menikmati agihan sosio-ekonomi yang adil.

Katanya, usaha untuk membantu golongan usahawan kecil di daerah berkenaan juga akan diperkasakan menerusi sebuah koperasi yang memberi bantuan kepada kumpulan sasar terbabit bagi memajukan perniagaan masing-masing.


Sementara itu, Ketua Bahagian PPBM Lawas, Dr Samuil Ashton Satu memberitahu, mereka akan terus memperjuangkan kemahuan golongan usahawan muda dan usahawan kecil di daerah berkenaan.

Ujarnya, pendekatan itu penting bagi memastikan golongan terbabit turut sama menikmati agihan ekonomi secara sama rata tanpa dimonopoli sesetengah pihak.

“Penubuhan Jawatankuasa Bahagian PPBM di Lawas sudah pasti akan merancakkan lagi senario politik di wilayah utara Sarawak ini.

“Pastinya PBBM Mempunyai perancangan jangka panjang dan berkemungkinan juga untuk parti ini bertanding dalam pilihan raya negeri akan datang,” katanya.

Dalam pemilihan Jawatankuasa Bahagian Bersatu Parlimen P222 Lawas yang dilakukan, Dr Samuil telah dipilih sebagai Ketua Bahagian, manakala Timbalan Ketua Bahagian disandang Mokti Ahmad.

Jawatan Naib Ketua pula disandang oleh Baru Sinau, Ketua Wanita, Norazalina Mohd Said, Ketua Armada, Elisha Samuil Batuncang, Setiausaha, Winston Joshua Tar, Bendahari, Esem Musa dan Ketua Penerangan, Petrus Abai. — DayakDaily