Rakhmadhani dinobat Raja Bukit DBKU Road Race 1.0

Helmi (enam dari kiri) merakamkan kenangan bersama para pemenang Dewan Bandaraya Kuching Utara Road Race 1.0. Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 10 Dis: Dengan catatan masa 2 jam 42 minit 37 saat, Rakhmadhani merangkul gelaran Raja Bukit Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Road Race 1.0 kategori terbuka lelaki hari ini.

Sebagai juara, Rakhmadhani membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM2,000 berserta pingat.


Hadiah telah disampaikan oleh Datuk Bandar DBKU Hilmy Othman.

Tempat kedua dan ketiga pula dimenangi oleh Ridho Al Hafiz dan Aizat Osman yang masing-masing membawa pulang hadiah berupa wang tunai sebanyak RM1,500 dan RM1,000 berserta trofi.

Bagi kategori terbuka wanita pula, Alisa Lau Hui Na meraihkan gelaran johan dengan hadiah wang tunai berjumlah RM300 berserta trofi.

Manakala Fitriani dan Haziatul Eisya Suhardi mendapat tempat kedua dan ketiga di mana masing-masing membawa pulang wang tunai berjumlah RM250 dan RM200 berserta trofi.

Dalam pada itu, Hilmy memberitahu, DBKU ‘Road Race 2.0’ akan diadakan pada tahun depan memandangkan penyertaan kali ini mendapat sambutan yang menggalakkan iaitu sebanyak 250 peserta.

Katanya, penganjuran edisi kedua acara ini pada 2024 akan menampilkan lebih ramai peserta dari dalam dan luar negara bagi meningkatkan lagi minat terhadap sukan berbasikal.

Simbolik pelepasan acara ini telah disempurnakan oleh Presiden Persatuan Berbasikal Sarawak Dato Benjamin Hasbie bertempat di Dewan Suarah, Kuching. — DayakDaily