Raih untung segera edar dadah, polis cekup dua lelaki

Royal Malaysia Police logo

Oleh Dean Adam

BINTULU, Dis 11: Kegiatan haram dua lelaki meraih keuntungan segera dengan mengedar dadah berakhir apabila mereka dicekup polis menerusi satu serbuan di Medan Jaya di sini lewat petang semalam.

Kedua-dua suspek yang berusia 40-an itu diberkas oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu kira-kira pukul 6 petang.


Ketua Polis Daerah Bintulu, Supt Zulkipli Suhaili berkata, kejayaan tangkapan itu merupakan hasil maklumat awam dan risikan yang dilakukan.

Jelasnya, dalam serbuan tersebut, polis berjaya merampas dadah jenis syabu seberat kira-kira 105 gram daripada kedua-dua suspek.

“Anggaran nilai dadah yang dirampas daripada suspek adalah sebanyak RM25,000.

“Polis kemudian membawa kedua-dua lelaki tempatan berkenaan ke balai polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zulkipli menambah, siasatan mendapati dadah yang dirampas daripada kedua-dua suspek adalah bagi pasaran tempatan.

Katanya, ujian air kencing yang dijalankan juga mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis amphetamine.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” ujarnya. — DayakDaily