Dua individu nyaris maut dalam kemalangan

Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa.

Oleh Dean Adam

KAPIT, Dis 11: Seorang pemandu dan penumpang sebuah kereta nyaris maut selepas kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Chevrolet di simpang Kampung Baru di sini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.57 pagi itu, kedua-dua individu terselamat dan hanya mengalami kecederaan ringan.


Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit, Zamri Rosli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 8.59 pagi.

Jelasnya, sepasukan anggota bomba kemudian diarahkan ke lokasi kemalangan untuk melakukan operasi menyelamat.

“Sebaik tiba, anggota bomba mendapati pemandu dan penumpang kereta itu dalam keadaan tersepit.

“Bagaimanapun, keadaan kedua-dua mangsa selamat dan hanya mengalami kecederaan pada kaki mereka,” katanya di sini hari ini.

Zamri menambah, anggota bomba kemudian bertindak mengeluarkan mangsa sebelum memberikan rawatan awal kepada mereka.

Katanya, pemandu Chevrolet serta penumpang pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Operasi menyelamat tersebut tamat sepenuhnya selepas mangsa dibawa ke Hospital Kapit untuk mendapatkan rawatan lanjut,” ujarnya. — DayakDaily