Pelajar UiTM Sarawak digesa bersikap ‘boleh berubah’ dalam bidang kerjaya yang diceburi

Jamil (dua dari kanan) menyampaikan anugerah kepada pelajar UiTM Sarawak yang akan bergraduan semasa Makan Malam Pra Graduan UiTM Cawangan Sarawak di BCCK.

KUCHING, Dis 11: Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sarawak mengingatkan kalangan pelajar ijazah dan diploma yang bakal bergraduan supaya bersikap ‘boleh berubah’ dalam bidang kerjaya yang diceburi mereka setelah menamatkan pengajian di universiti itu.

Rektor UiTM Sarawak, Professor Dato Dr Jamil Hamali berkata kelayakan akademik di atas kertas sahaja adalah tidak mencukupi bagi mereka dapat berjaya dalam bidang kerjaya masing-masing dan mereka perlu juga memiliki sikap yang betul.

“Sehubungan itu pelajar selepas bergraduan mesti bersikap boleh berubah, kerana perubahan itu memang satu kepastian dan perubahan juga akan berterusan (dalam kerjaya diceburi), jadi kalau kamu tidak boleh berubah, kamu tidak akan berjaya,” katanya ketika menghadiri Makan Malam Pra Graduan UiTM Sarawak bertema “Graduan UiTM Ke Persada Dunia” di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), Sejingkat, di sini, semalam.

Majlis tersebut bagi meraikan pelajar UiTM Sarawak yang bakal bergraduan dengan majlis juga dihadiri Timbalan Rektor universiti itu, antaranya Timbalan Rektor Bahagian Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Professor Madya Dr Firdaus Abdullah, Timbalan Rektor Penyelidikan dan Jaringan Industri, Dr Saudi Narawi dan Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar, Dr Mohammad Isa Mohamadin.

Jamil berkata selain bersikap boleh berubah mengikut keadaan dan masa, pelajar juga mesti ada bersikap berkeyakinan untuk berinteraksi dan bergaul dengan orang sekeliling dan berkeyakinan mengejar impian dalam kerjaya mereka.


Katanya sekiranya pelajar UiTM Cawangan Sarawak mempunyai sikap tersebut, beliau yakin ramai graduan universiti itu akan mampu menjadi golongan berjaya di dunia dalam apa sahaja bidang kerjaya yang diceburi selepas tamat pengajian.

“Saya juga yakin salah seorang dari kalangan seramai 840 pelajar malam ini, sekiranya dicampakkan ke mana sahaja akan menjadi perdana menteri, akan menjadi ketua menteri, ahli politik, ketua pegawai eksekutif atau jurutera yang berjaya di dunia,” tambahnya.

Keseluruhannya seramai 850 pelajar tahun akhir ijazah sarjana muda dan diploma di UiTM Sarawak dijangka akan menamatkan pengajian mereka semester ini. Majlis tersebut juga menyaksikan sebanyak 19 anugerah diberikan kepada pelajar diploma dan sembilan anugerah kepada pelajar ijazah. — DayakDaily