KUCHING, 28 Sep: Rabies kekal sebagai satu ancaman kepada orang ramai, kata Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi.
Menurut beliau, bagi tahun 2024 ini, enam kes rabies telah direkodkan dan ia menunjukan keperluan untuk menanganinya kes secara keseluruhan.
“Sejak rabies bermula pada tahun 2017, sebanyak 81 kes telah direkodkan dan melibatkan 74 kematian,” kata Dr Rundi.
Beliau berkata demikian dalam ucapan Hari Rabies Sedunia yang dibaca Pengarah Veterinar Datu Dr Adrian Susin.
Tambah Dr Rundi, satu langkah yang telah diambil untuk menghentikan rabies adalah dengan melakukan vaksinasi terhadap anjing peliharaan.
Katanya, vaksinasi bukan sahaja untuk melindungi haiwan peliharaan tetapi paling penting keselamatan orang ramai terjamin.
“Anjing adalah pembawa wabak rabies, memastikan haiwan ini mendapat vaksinasi akan mengurangkan ancaman kepada orang ramai,” katanya. — DayakDaily