Rabat dan miring cetus dua kluster baharu di Meradong dan Kanowit

Filepix

KUCHING, 23 Jun: Upacara pengebumian ‘rabat’ cetus satu lagi kluster baharu Covid-19, Kluster Sungai Kotak di Meradong yang diisytiharkan hari ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam kenyataannya berkata, ia merupakan satu kluster komuniti yang dikesan melibatkan sebuah rumah panjang.

“Kluster Sungai Kotak, Meradong merupakan satu kluster komuniti yang dikesan melibatkan sebuah rumah panjang di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Sungai Kotak, Meradong.


“Ia melalui upacara pengebumian, pergaulan sosial dan kontak rapat dalam kalangan penduduk,” katanya.

Menurut JPBNS, sejumlah 101 individu telah disaring di mana 34 kes telah dikesan positif Covid-19 termasuk kes indeks, manakala 25 kes didapati negatif dan 42 kes masih menunggu keputusan makmal.

“Kesemua kes positif telah dimasukkan ke Hospital Sarikei dan PKRC di daerah Sarikei bagi tujuan pengasingan dan rawatan lanjut,”kata JPBNS.

Sementara itu, aktviti miring pra sambutan hari Gawai pada 31 Mei lepas cetus satu lagi kluster iaitu Kluster Nanga Tada, Kanowit.

Ia merupakan satu kluster komuniti yang dikesan melibatkan tiga buah rumah panjang di Skim Penempatan Semula Nanga Tada, Kanowit.

“Perebakan jangkitan berlaku melalui aktviti miring pra sambutan hari Gawai pada 31 Mei 2021 serta pergaulan sosial dan kontak rapat dalam kalangan penduduk setempat sehingga jangkitan generasi ke-2,” kata JPBNS.

Menurut kenyataan itu lagi, sejumlah 179 individu telah disaring di mana 107 kes telah dikesan positif termasuk kes indeks, manakala 70 kes didapati negatif dan dua kes masih menunggu keputusan makmal.

Kesemua kes positif bagi Kluster Nanga Tada telah dimasukkan ke Hospital Sibu, Hospital Kanowit dan PKRC di daerah Kanowit bagi tujuan pengasingan dan rawatan lanjut. — DayakDaily