KUCHING, 5 Mei: Pustaka Negeri Sarawak menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) ke-5 k@Borneo dengan 10 buah organisasi yang diadakan secara maya melalui Facebook rasmi Pustaka Negeri Sarawak dan Pustaka Sarawak Channel hari ini.
Objektif MoU adalah untuk menjalin kerjasama serantau dalam membangun dan berkongsi pelbagai maklumat mengenai Borneo serta berkongsi keupayaan manusia dan tanggungjawab dalam berkongsi maklumat mengenai Borneo.
Menurut Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Pustaka Negeri Sarawak Arpah Adenan, perkara yang akan dilaksanakan oleh k@Borneo pada tahun ini adalah penyusunan dan penerbitan bibliografi mengenai pengetahuan tradisional Borneo.
“Kerjasama juga meliputi penerbitan kisah K@Borneo dan persidangan antarabangsa ke-2 K@Borneo.
“Persidangan ini akan diadakan pada 14 – 15 September tahun ini secara maya dan menjadi tempat berkumpul kepada para penyelidik untuk berkomunikasi dengan penyelidik daripada antarabangsa untuk bertukar pendapat dan berkongsi pengetahuan di dalam pengajian Borneo,” katanya.
MoU pada kali ini telah ditandatangani bersama Universiti Malaysia Sarawak, Yayasan Tun Jugah, Universiti Malaysia Sabah, Perpustakaan Negeri Sabah, Jabatan Muzium Sabah, Perpustakaan Penyelidikan Borneo, Yayasan Sabah.
Turut menandatangani MoU ialah Universitas Tanjungpura di Kalimantan Barat, Universiti Mulawarman di Kalimantan Timur dan Institut Agama Islam Negeri Pontianak.
k@Borneo dimulakan oleh Pustaka Negeri Sarawak pada tahun 2001 dan ditubuhkan secara rasmi pada tahun 2002 sebagai kerjasama serantau dalam membangun dan berkongsi maklumat mengenai Borneo dengan rakan-rakan se-Borneo yang lain.
Ia merupakan usaha kolektif secara kolaborasi di peringkat antarabangsa untuk mengenal pasti dan memelihara bahan Borneo dengan institusi-institusi dari tiga buah negara lain di Kepulauan Borneo iaitu Negara Brunei Darussalam, Indonesia dan Malaysia. — DayakDaily