Pusat Perkhidmatan Sarawak bukti kerajaan negeri beri perkhidmatan bertaraf dunia

Sabariah (depan, sembilan dari kanan) merakamkan gambar bersama kakitangan di Pusat Perkhidmatan Sarawak di Kuching, semalam.

KUCHING, 1 Oktober: Pusat Perkhidmatan Sarawak yang mendapat respon positif orang awam menjadi kayu ukur kepada kualiti perkhidmatan awam kerajaan negeri kepada rakyat.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datu Dr Sabariah Putit, berkata sebagai pegawai barisan hadapan, kakitangan awam di negeri ini akan terus diperkasakan menerusi pelbagai latihan agar mereka menjadi kakitangan awam bertaraf dunia.

Jelas beliau, ianya merupakan satu platform baharu penyampaian perkhidmatan barisan hadapan yang mesra pelanggan, selari dengan hasrat kerajaan negeri Sarawak ke arah perkhidmatan awam negeri yang bertaraf dunia dari segi penyampaian perkhidmatan cemerlang.

“Saya rasa kita merupakan wilayah yang telah dapat mencapai kejayaan dalam melaksanakan apa yang dikatakan pusat sehenti berkonsepkan polisi ‘no wrong door’ dan ‘no wrong counter’.

“Ini merupakan usaha pihak kerajaan melalui Pelan Tindakan  Transformasi SCS 10-20 untuk menjadikan perkhidmatan kerajaan Sarawak bertaraf dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan ke pusat tersebut dan sesi perjumpaan dengan kakitangan baharu bagi Pusat Perkhidmatan Sarawak Sibu dan Miri, di sini, semalam.

Sabariah menambah, ia juga merupakan usaha ke arah perkhidmatan yang memberi fokus kepada keperluan dan keselesaan rakyat.

Oleh itu, katanya, Pusat Perkhidmatan Sarawak menawarkan perkhidmatan di pelbagai saluran iaitu kaunter, kiosk dan juga secara atas talian.

“Apa yang kita harapkan pertemuan dengan 70 kakitangan yang bekerja di pusat ini akan memberi inspirasi kepada mereka untuk berkhidmat dengan cemerlang.

“Mereka sedang menjalani pelbagai latihan dan juga akan diberi mandat menjadi duta kerajaan negeri bertaraf dunia dalam memberi perkhidmatan di cawangan Kuching, Sibu dan Miri.

Sejak Pusat Perkhidmatan Sarawak Kuching beroperasi pada 1 Oktober 2018, purata pengguna sehari yang menggunakan perkhidmatan pertanyaan dan pembayaran pelbagai bil seperti bil berkaitan perkhidmatan kerajaan negeri, bil elektrik, bil air dan cukai taksiran adalah seramai 800 orang sehari.

Berdasarkan rekod, sejak Oktober tahun lalu hingga 31 Ogos tahun ini, seramai 208,688 orang awam menggunakan perkhidmatan tersebut dengan transaksi berjumlah 337,320 dalam tempoh itu. — DayakDaily