Pusat Pemberian Vaksin untuk industri bakal diwujudkan di Miri

Datuk Lee Kim Shin

MIRI, 14 Jun: Sebuah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) industri bakal diwujudkan di sini tidak berapa lama lagi, dalam usaha melancarkan program pemberian vaksinasi Covid-19 bagi pekerja sektor perindustrian dan perkilangan.

Perkara ini dijelaskan Menteri Pengangkutan Datuk Lee Kim Shin merangkap menteri bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri hari ini selepas mempengerusikan mesyuarat secara dalam talian.

“Kita telah berbincang dengan beberapa sektor industri misalnya sektor perkapalan, sektor perindustrian, sektor pembinaan, sektor perkilangan, sektor perniagaan, sektor pelancongan, sektor pengangkutan, sektor minyak dan gas dan sebagainya,” kata Lee.


Melalui mesyuarat secara dalam talian dengan pemain-pemain industri di Miri pada petang semalam, JPBB Miri telah memberikan taklimat penyelarasan pembukaan PPV Industri (PPVIN) di Bandaraya Miri.

Terkini, sektor minyak dan gas telah bersiap sedia untuk mengadakan PPVIN dan jawatankuasa ini telah menasihatkan mereka untuk mengemukakan permohonan kepada Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) Sarawak bagi mendapatkan kebenaran dan seterusnya pembukaan PPVIN itu nanti akan dapat dilakukan melalui ‘Protect Health’.

Mesyuarat secara dalam talian JPBB Miri mengenai PPVIN yang diadakan buat kali kedua semalam mengkhususkan beberapa sektor iaitu sektor perkapalan, sektor minyak dan gas asli, sektor pelancongan, sektor pembinaan, sektor pengangkutan, sektor perniagaan, sektor pertanian dan sektor perkilangan.

Hadir sama, Tuan Abdul Aziz Mohd Yusuf, Pengerusi JPBB Miri merangkap Pemangku Residen Bahagian Miri.

JPBB Miri mengingatkan orang ramai untuk terus kekal waspada dan sentiasa mematuhi prosedur operasi ‘standard’ (SOP) pencegahan Covid-19 secara ketat. — DayakDaily