Pusat Pemandu Grab dilancarkan di Kuching

Tiew (berdiri enam dari kiri) bersama Lam (berdiri tujuh dari kiri) bersama pemandu Grab di bandaraya ini yang menghadiri majlis pembukaan Pusat Pemandu Grab di Plaza Aurora, Jalan McDougall di Kuching.
Advertisement

KUCHING, Okt 23: Sebagai meraikan ulangtahun pertamanya beroperasi di bandaraya ini, Grab telah melancarkan pembukaan kemudahan Pusat Pemandu Grab yang terletak di Plaza Aurora, Jalan McDougall di sini, hari ini.

Pusat tersebut yang pertama di Kepulauan Borneo dan kelima di negara ini telah dilancarkan Ketua Bandar Luar, Grab Malaysia, Justin Tiew bersama Pengurus Grab Wilayah Borneo, Kelvin Lam bagi menjadi kemudahan pusat sehenti yang menguruskan segala keperluan dan kebajikan pemandu Grab.

Lam berkata ini kerana pemandu Grab samada GrabCar atau GrabTaxi memainkan peranan penting dalam membantu melayan pengguna Grab di bandaraya ini; berikutan itu pihaknya adalah bersungguh menambahbaik kebajikan mereka.

Advertisement

“Kemudahan Pusat Pemandu Grab yang baharu di sini adalah bukti kepada perkara terbabit dan kita meletakkan keperluan dan kebajikan mereka sebagai rakan pemandu di bahagian terdepan dalam perniagaan,” katanya.

Menurutnya antara perkhidmatan utama pusat itu ialah menguruskan pertanyaan harian bagi pemandu sedia ada dan yang berpotensi menjadi pemandu, menguruskan pendaftaran pemandu baharu dan pengesahan perseorangan yang mandatori, mengadakan latihan memandu yang mandatori dan sesi pendidikan semula kepada semua pemandu.

Lam berkata sejak beroperasi di bandaraya ini tahun lepas, setakat ini Grab telah melakukan sebanyak 5.5 juta perjalanan membawa penumpang dengan keseluruhannya pemanduan sejauh 27 juta kilometer atau bersamaan mengelilingi bumi sebanyak 670 kali.

“Kami selepas ini berhasrat memperluaskan lagi perkhidmatan Grab ke kawasan di luar bandaraya ini seperti di Kota Padawan, Kota Sentosa, Bau dan Siniawan yang lebih jauh,” katanya.

Selepas ini, Grab bersama Petronas akan mewujudkan Perhentian Pit Pemandu Grab di lokasi terpilih di sekitar Kuching bagi pemandu merehatkan diri dan bekerjasama bersama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja bagi membuka kaunter mendaftarkan diri mereka dengan agensi itu.

Sementara itu, Lam berkata baru-baru ini Grab telah mula beroperasi di Sarikei dan selepas ini bakal memperluaskan lagi perkhidmatan terbabit di kawasan tengah negeri ini termasuk Mukah.

Lam berkata dianggarkan sekitar 10,000 pemandu Grab di negeri ini dengan permintaan utama perkhidmatan terbabit ialah di bandaraya ini yang telah berkembang sehingga 10 kali ganda sejak tahun lepas. — DayakDaily

Advertisement