“Tindakan PH membatalkan projek luar bandar mendiskriminasi hak pembangunan rakyat Sarawak”

Dr Hazland Abang Hipni

KUCHING, Okt 23: Tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) membatalkan banyak projek khususnya di kawasan luar bandar di Sarawak boleh disifatkan sebagai mendiskriminasi hak pembangunan rakyat negeri ini.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut, Dr Hazland Abang Hipni berkata demikian mengulas kenyataan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Chong Chieng Jen yang mendakwa pembatalan projek-projek kerajaan terdahulu disebabkan projek tersebut hanya ‘hot air’ (cakap kosong) dan projek ‘kroni’ hanyalah bersifat politik dan cuba mengalih pandangan umum terhadap ketidakpuasan rakyat terhadap ekonomi negara ketika ini.

“Apakah yang dimaksudkan Chong dengan projek ‘hot air’ dan projek ‘kroni’? Dakwaan tersebut hanya pernyataan politik yang bersifat memberikan gambaran yang tidak baik terhadap kerajaan terdahulu (Barisan Nasional) dalam memperjuangkan pembangunan di Sarawak.


“Jika benar apa yang diperkatakan Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak itu, Chong perlu memberi dan mengemukakan senarai projek-projek yang dikatakan sebagai projek ‘hot air’ dan ‘kroni’,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini berhubung dengan dakwaan Chong yang menyifatkan dua kategori projek dibatalkan kerajaan pusat dalam satu sidang media yang diadakan di sini, Ahad lepas.

Dalam pada itu, Dr Hazland menegaskan bahawa pemberian atau penganugerahan projek yang diumumkan sebelum ini perlu melalui pelbagai peringkat sebelum diumumkan kepada rakyat.

“Setiap projek perlu diteliti terlebih dahulu dalam pelbagai peringkat menerusi suatu sistem yang ketat bersama dengan jabatan atau agensi yang berkaitan. Selepas mendapati tiada masalah berkaitan kewangan dan diluluskan, barulah ianya diumumkan kepada rakyat oleh pemimpin politik dari kerajaan terdahulu. Jangan hanya pandai mengeluarkan kenyataan bersifat politik hanya semata-mata mahu memberikan gambaran dan imej buruk kerajaan terdahulu yang sebelum ini banyak berjasa kepada rakyat,” tambahnya lagi.

Bercakap mengenai Chong, Dr Hazland berkata sepanjang memegang jawatan Timbalan Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong lebih banyak bermain politik berbanding menyelesaikan masalah rakyat khususnya berkaitan kenaikan harga barang dan kos sara hidup yang tinggi.

“Chong terlalu banyak berpolitik sehingga tugas dan peranan sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna tidak dapat dilaksanakan dengan baik khususnya di Sarawak. Akibatnya, jika sebelum ini Chong di pihak pembangkang kerap kali mempersoalkan tentang kenaikan harga barang dan kenaikan kos sara hidup sehingga mendakwa kerajaan terdahlu tidak melaksanakan tugas dengan baik, tetapi kini sebagai kerajaan Chong turut gagal mengatasi masalah rakyat,” katanya.

Malah, menurutnya selepas pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bagi menggantikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berkuatkuasa pada Sept 1 lepas, harga barangan yang dikatakan turun tidak menjadi kenyataan sebaliknya berlaku kenaikan yang ketara.

Dr Hazland turut mempersoalkan apakah rasionalnya Kerajaan PH yang diwakili Chong mahu menubuhkan syarikat bagi membangunkan kereta nasional ke-3 dan Jambatan Bengkok bagi menghubungkan Malaysia dengan Singapura walaupun dikatakan ekonomi Malaysia kini dalam keadaan tidak menentu dan banyak hutang.

Katanya, sehingga kini, selepas 5 bulan mentadbir Malaysia, tiada sebarang pembaharuan yang dibawa oleh kerajaan PH sebaliknya lebih banyak drama politik disajikan kepada rakyat yang ketika ini telah mula hilang kepercayaan kepada kepimpinan kerajaan baru pada hari ini. — DayakDaily