Pusat Pelanggan JBALB beroperasi sepenuhnya 12 April

JBALB Logo

KUCHING, 9 April: Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) akan mengaktifkan  sepenuhnya operasi Pusat Pelanggan 24 jam jabatan itu bermula Isnin depan (12 April).

Ia bagi membolehkan pelanggan jabatan tersebut untuk menyalurkan maklumat atau melaporkan sebarang insiden membabitkan masalah bekalan air terus kepada jabatan berkenaan.

JBALB menerusi satu kenyataan hari ini berkata, pusat tersebut yang dikendalikan Cawangan Komunikasi Korporat dan Pendigitalan JBALB akan beroperasi menggunakan talian hotline 082-262211.

“Operasi Pusat Pelanggan 24 jam atau JBALB ‘Call Centre’ ini dilakukan bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan pelanggan yang cekap, mesra dan efisien,” katanya.

Katanya, pengwujudan pusat pelanggan tersebut merupakan komitmen jabatan itu dalam usahanya menambahbaik dan meningkatkan mutu serta kualiti perkhidmatannya kepada masyarakat di kawasan luar bandar. — DayakDaily