KUCHING, 7 Dis: Sarawak bakal mempunyai tiga pusat astronomi, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurut beliau, pusat tersebut akan diwujudkan di Miri, Bintulu dan Kuching dan khusus untuk para belia yang berminat mendalami ilmu falaq.
“Kerajaan Sarawak sentiasa menyokong inisiatif belia melalui pelbagai program dan dasar melalui kolaborasi semua pihak.
“Kerana itu juga kerajaan Sarawak begitu komited di dalam usaha membangunkan pelbagai inisiatif untuk kepentingan belia Sarawak.
“Contohnya, kita bakal mempunyai tiga pusat astronomi iaitu di Miri, Bintulu dan Kuching,” katanya dalam ucapan di Perasmian Hari Belia Sarawak 2024 di Mukah hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Tambah Abang Johari, kerajaan juga mengumumkan satu inisiatif baharu bantuan kewangan khususnya kepada pelajar yang sedang melanjutkan pengajian tinggi dengan peruntukkan RM30 juta.
Ujarnya, pelajar dari keluarga berpendapatan rendah akan menerima bantuan wang saku sekali bernilai RM1,200.
Katanya lagi, kerajaan negeri akan membelanjakan lebih RM90 juta bagi bayaran balik baki pinjaman PTPTN dan meneruskan baucar buku RM500 serta inisiatif komputer riba percuma untuk pelajar universiti daripada kumpulan B40.
“Semua inisiatif-inisiatif berkenaan menunjukkan kepentingan belia kepada Sarawak.
“Saya percaya pelaburan terhadap golongan belia adalah pelaburan yang paling bernilai untuk masa depan Sarawak, ” kata Abang Johari. — DayakDaily