KUCHING, 3 Mei: Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak menyerahkan kepada Jawatankuasa Perundingan bagi menentukan agihan kerusi parlimen bersama Parti Sarawak Bersatu (PSB) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Berhubung rundingan kerusi, kita serahkan kepada Jawatankuasa Perundingan untuk menentukannya.
“Dalam apa jua rundingan, jawatankuasa tersebut akan membuat keputusan,” kata Pengerusinya Chong Chieng Jen ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Premier Sarawak di sebuah hotel di sini, hari ini.
Menurut Chong yang juga MP Stampin, sebarang kenyataan berhubung keputusan yang dibuat jawatankuasa tersebut akan dikeluarkan oleh Timbalan Pengerusi Alice Lau.
“Kita telah menyerahkan tugas kepada mereka, maka sebarang perkembangan lanjut jawatankuasa ini adalah forum paling sesuai menentukannya,” kata Chong yang juga Adun Padungan.
Baru-baru ini, DAP Sarawak bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Perundingan untuk memulakan proses perbincangan kerjasama semua parti pembangkang di Sarawak.
Jawatankuasa tersebut akan mengetuai proses penyatuan parti pembangkang bersama DAP Sarawak dengan agenda untuk menumbangkan gabungan Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada PRU15.
Selain Alice, jawatankuasa tersebut turut dianggotai Setiausaha Alan Ling dan Bendahari Chiew Chiu Sing. — DayakDaily