Kemunculan Mawan di Saratok bukti beliau berjiwa BN

Mawan (tiga dari kanan) bersama Subeng Mula (empat dari kanan) di Saratok.

SARATOK, April 28: Kemunculan Tan Sri William Mawan Ikom yang juga penyandang kerusi Parlimen Saratok di sekitar pusat penamaan calon di Dewan Masyarakat Sri Krian di sini telah memberi kejutan kepada penyokong Barisan Nasional (BN).

Ketibaan Mawan di situ juga diiringi laungan ‘Hidup BN’ dan ‘Hidup Tan Sri’ yang sekali gus menamatkan spekulasi beliau tidak menyokong calon BN di Parlimen Saratok, Subeng Mula.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Datuk Abdul Wahab Aziz ternyata tidak dapat menahan sebak apabila melihat Mawan bersama rombongan memberi sokongan kepada Subeng.


Senario itu jelas membuktikan Mawan merupakan seorang pemimpin berjiwa rakyat dan tidak akan berpaling tadah kepada kepimpinan BN.

Terdahulu, Parlimen Saratok bakal menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Subeng (BN) dan Ali Biju dari Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Parlimen Saratok mempunyai seramai 30,517 pengundi iaitu dengan majoriti kaum Iban (56 peratus) Melayu (37 peratus) dan Cina (7 peratus).

Dalam PRU13, Mawan berjaya menewaskan Ali Biju dengan majoriti 2,081 undi. — DayakDaily