PRU14: Hanifah berjanji memberikan perkhidmatan terbaik kepada akar umbi Mukah

Hanifah (lima dari kiri) diiringi penyokong BN di Mukah.

MUKAH, April 28: Datuk Hanifah Hajar Taib yang merupakan calon muka baharu Barisan Nasional (BN) bagi kawasan Parlimen Mukah bertekad untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik jika diberi kepercayaan oleh masyarakat akar umbi nanti.

Beliau bakal bertembung dengan calon dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) Abdul Jalil Bujang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kelak.

Pertandingan satu lawan satu itu diumumkan oleh Pegawai Pilihan Raya Bahagian Mukah di di Dewan Suarah Mesar Mukah di sini hari ini.


Bercakap ketika ditemui pemberita selepas selesai penamaan calon, anak bongsu kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud mengakui dirinya merupakan muka baharu yang berkecimpung dalam arena politik dan akan berusaha gigih bagi memastikan Mukah akan terus membangun.

“Apabila saya dicalonkan sebagai calon BN (Barisan Nasional), jadi adalah menjadi satu amanah bagi saya bagi menjalankan tanggungjawab saya dengan penuh dedikasi.

“Saya tidak berani meletakkan diri saya sama seperti tempat ayah saya (Taib). Ayah saya memiliki banyak pengalaman dan apa yang dicapainya dalam arena politik selama ini merupakan adalah kejayaan beliau,” ujarnya lagi.

Terdahulu, Hanifah, 46, telah diiringi oleh Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah bersama ribuan penyokong BN berarak menuju ke pusat penamaan calon di sini.

Hanifah menggantikan bekas penyandang kerusi Parlimen Mukah selama tujuh penggal iaitu Tan Sri Dr Muhammad Leo Toyad. — DayakDaily