PRU14: Ajak rakyat turun mengundi, strategi utama PBB Pantai Damai

Dr Abdul Rahman (tengah) bersama ahli jentera PBB Zon Telaga Air sempena majlis pelancaran Bilik Gerakan PRU14, Barisan Nasional (BN) - PBB Zon Telaga Air di Pusat Tempat Mengundi (PTM) Selang Laut.

KUCHING, April 21: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai akan menggerakkan jentera untuk mengajak rakyat di dalam kawasan berkenaan turun mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini.

Menteri Muda Elektrik Luar Bandar yang juga ADUN Pantai Damai, Dr Abdul Rahman Junaidi berkata kaedah tersebut merupakan strategi utama yang boleh menjamin kemenangan kepada Barisan Nasional (BN) di mana ia telah berkesan ketika digunakan dalam pilihan raya negeri yang lalu.

“Tumpuan adalah kepada peratusan dan jumlah orang turun mengundi di mana kami tidak mahu pengundi dan penyokong kita berasa selesa sehingga tidak mahu turun mengundi kerana ini akan merugikan jumlah undi yang sepatutnya memihak kepada kita.


“Maka itu, semua jentera pada hari pembuangan undi akan bersatu tenaga dan mengerah jentera untuk memastikan sebanyak mungkin pengundi turun mengundi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Bilik Gerakan PRU14, Barisan Nasional (BN) – PBB Zon Telaga Air di Pusat Tempat Mengundi (PTM) Selang Laut hari ini.

Menurut Dr Abdul Rahman, terdapat sebanyak 17 PTM di dalam kawasan DUN Pantai Damai dan pihaknya menyasarkan 100 peratus pengundi di setiap PTM turun mengundi pada Mei 9 nanti.

Terdahulu, beliau berkata jentera BN-PBB Zon Telaga Air amnya kini sudah bersiap sedia bagi memastikan perancangan dalam menghadapi pilihan raya ini berjalan lancar.

“Jawatankuasa BN-PBB Zon Telaga Air sudah awal lagi bersedia dan ini jelas menunjukkan komitmen mereka untuk memastikan BN terus mencipta kemenangan besar pada pilihan raya ini,” katanya. — DayakDaily