PAS akan bertanding di lima kerusi Parliamen di Sarawak

Dari kiri: Hamdan, Zulkipli , Asan, Abdul Hadi, Uztaz Wan Abdillah dan Zulaihi pada sidang media pengumuman calon PAS untuk PRU14 di Sarawak.

KUCHING, April 21: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) akan bertanding di sebanyak lima kerusi Parlimen di Sarawak pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini dan sudah mengenalpasti lima calon bagi kerusi terbabit.

Lima kerusi tersebut ialah P.194 Petra Jaya dengan calonnya Hamdan Sani, P.197 Kota Samarahan (Zulkipli Ramzi), P.200 Batang Sadong (Asan Singkro), P.201 Batang Lupar (Uztaz Wan Abdillah Wan Ahmad) dan P.218 Sibuti (Zulaihi Bakar).

Presiden PAS Dato Seri Abdul Hadi Awang menyampaikan surat perlantikan kepada lima calon terbabit pada sidang media di Pejabat Perhubungan PAS Negeri Sarawak di Matang Jaya, di sini, hari ini.


Sidang media tersebut juga dihadiri Pesuruhjaya PAS Sarawak Jofri Jaraiee dan Ketua Pengarah Pilihanraya PAS Pusat Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Abdul Hadi berkata pihaknya yakin sekurang-kurangnya memenangi satu kerusi dari lima kerusi yang ditandingi parti terbabit di negeri ini tetapi enggan mendedahkan kerusi tersebut.

“Itu (kerusi Parlimen yang PAS yakin akan menang di Sarawak) adalah rahsia kerana sebahagian dari strategi kami,” katanya.

Beliau juga menjelaskan PAS hanya bertanding di lima kerusi Parlimen sahaja kerana menghormati penduduk bukan Islam negeri ini yang tidak tahu konsep Islam dan meletakkan calon hanya di kawasan sesuai dengan ramai penduduknya umat Islam.

“Juga sudah ada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang mewakili Islam dan bukan Islam yang memainkan peranan; kita tidak mahu pertembungan yang banyak dan mahu memperkenalkan budaya politik matang dan sejahtera,” katanya.

Beliau berkata walaupun pada pilihanraya sebelum ini PAS gagal memenangi sebarang kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sarawak, namun telah terdapat peningkatan undi yang diterima parti terbabit.

Malahan PAS memilih bertanding di kerusi Parlimen Petra Jaya dan Parlimen Sibuti pada PRU14 ini dan tidak lagi bertanding di Parlimen Igan dan Parlimen Tanjong Manis kerana mendapat banyak undi di DUN Semariang dan di DUN Beting Maro pada pilihanraya negeri lepas sehingga calon PAS tidak hilang deposit.

“Kami juga banyak menerima generasi baru menjadi ahli kita; dalam pilihanraya ini sebanyak 40 peratus pengundi baru adalah berusia 21 hingga 41 tahun yang akan menjadi penentu pilihanraya ini,” katanya.

Beliau berkata antara isu yang bakal dibangkitkan PAS dalam kempen bagi meraih sokongan pengundi di Sarawak ialah mengenai pengagihan cukai dan zakat antara negeri yang tidak adil dan juga hasil minyak negeri ini hanya lima peratus.

“Sarawak dan Sabah adalah negeri banyak hasil (minyak), tetapi royalti diberikan hanya lima peratus sahaja sedangkan kedua-dua negeri masih menghadapi masalah kemudahan infrastruktur, masalah kos sara hidup yang belum selesai dan sepatutnya boleh diselesaikan mengunakan sumber ini,” katanya.

Abdul Hadi berkata parti itu akan bertanding di 160 kerusi Parlimen pada pilihanraya ini dari keseluruhannya 222 kerusi Parlimen yang akan dipertandingkan dan mensasarkan memenangi sekurangnya sehingga 40 kerusi terbabit.

“Sekiranya mendapat 40 kerusi Parlimen, maka PAS akan menjadi ‘king-maker’ iaitu kemungkinan Pakatan Harapan atau Barisan Nasional perlu bergabung dengan kami bagi mendapat kerusi majoriti dan seterusnya dapat menubuhkan kerajaan pusat,” katanya. — DayakDaily