100 batang kayu balak haram dirampas

Anggota SFC memeriksa kayu balak yang dirampas.

SIBU, April 21: Hasil maklumat awam, pasukan penguatkuasa Sarawak Forestry Corporation (SFC) berjaya merampas 100 batang kayu balak haram menerusi dua serbuan berasingan di Jalan Oya-Stapang, Selangau.

Jurucakap SFC memberitahu, susulan menerima maklumat awam pada Rabu lalu, pasukan penguatkuasa telah melakukan risikan sebelum menjalankan serbuan.

Menurutnya, anggota SFC dalam serbuan pertama telah menemui serta merampas 40 batang kayu balak haram pelbagai jenis saiz dilonggokkan di kawasan Sungai Alat di sini.


“Lanjutan serbuan itu, pasukan sama kemudian menemui dan merampas 60 batang kayu balak di kawasan Sungai Alat Bridge,” kata SFC dalam satu kenyataan media hari ini.

Jurucakap sama menambah, pemeriksaan lanjut mendapati tiada sebarang cop pengesahan pada pangkal kesemua kayu balak daripada pihak Jabatan Hutan Sarawak (JHS).

Katanya, satu laporan polis berhubung rampasan kayu balak itu sudah dibuat sebelum diserahkan kepada JHS untuk tindakan lanjut.

“Kes tersebut disiasat di bawah Ordinan Hutan 2015,” ujarnya lagi. — DayakDaily