PRU-15: Manifesto GPS fokus keseluruhan aspek kesejahteraan sosial – Fadillah

Fadillah (dua dari kiri) merasmikan Hari Warga Emas Peringkat Satok.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 22 Okt: Manifesto Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi menghadapi Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) fokus kepada kesejahteraan sosial rakyat.

Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Dato Sri Fadillah Yusof berkata, ia adalah seperti Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 yang meliputi semua aspek.


“Satu aspek yang kita lihat ialah kesejahteraan sosial rakyat kita.

“Aspek yang kita lihat ini merangkumi warga emas juga. Oleh sebab itu di Satok ini ada Pusat Aktiviti Warga Emas hasil inisiatif Premier Sarawak serta isteri,” kata Fadillah.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Sambutan Hari Warga Emas Peringkat Satok di Dewan Dato Hajjah Juma’ani, SK Rakyat Petra Jaya hari ini.

Jelas Fadillah yang juga Ketua Whip GPS, manifesto itu merupakan satu strategi spesifik yang bukan hanya untuk warga emas sahaja.

Malah katanya, ia mengambil kira keseluruhan aspek yang berkaitan dengan kesejahteraan sosial rakyat Sarawak.

Menurut beliau yang juga penyandang Ahli Parlimen Petra Jaya, manifesto GPS bakal dilancarkan Perdana Menteri dalam masa terdekat ini. — DayakDaily