PRS mohon diberi perwakilan lebih baik dalam kabinet negeri

Joseph ketika berucap di Majlis Asiparasi Petugas-Petugas PRN di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).

KUCHING, 5 Jan: Parti Rakyat Sarawak (PRS) memohon diberi perwakilan yang sewajarnya di dalam barisan kabinet negeri.

Bukan membantah barisan kabinet yang baharu diumumkan, Pemangku Presiden PRS Datuk Joseph Salang Gandum berkata, perwakilan yang sewajarnya adalah sebagai mengiktiraf sumbangan parti yang mencatat kemenangan 100 peratus pada Pilihanraya Negeri (PRN) lepas.

“Kita sekali lagi merekodkan kemenangan 100 peratus seperti pada tahun 2016.


“Ketua Menteri (Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg) memiliki kebijaksanaan dan telah memberi jawatan satu menteri penuh serta satu jawatan menteri muda tambahan kepada PRS.

“Namun PRS percaya ini adalah permulaan, di perjalanan seterusnya kita harap perwakilan parti di dalam kabinet boleh ditambah baik,” katanya.

Joseph berkata demikian pada Majlis Asiparasi Petugas-Petugas PRN di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) malam ini.

Majlis dihadiri Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Tambah Joseph, setelah pemergian Presiden Tan Sri James Masing yang juga Timbalan Ketua Menteri, PRS seperti akan anak tiri.

Namun katanya, sokongan yang diberikan oleh Abang Johari telah membawa kemenangan 100 peratus kepada PRS.

“Terima kasih Abang Johari kerana telah merestui semua 11 calon PRS dan semuanya memperolehi kemenangan,” kata Joseph.

Sebelum PRN Disember lepas, PRS diwakili Masing sebagai Menteri Infrastruktur Dan Pembangunan Pelabuhan.

Di samping itu, Menteri Muda mewakili PRS ketika itu adalah Datuk John Sikie, Datuk Liwan Lagang, Datuk Malcom Mussen dan Datuk Snowdan Lawan. — DayakDaily