Oleh Chris Bishop
SIBU, 24 April: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg gesa Parti Rakyat Sarawak (PRS) merampas semula empat kerusi parlimen yang terlepas dari genggaman selesai Pilihanraya Umum (PRU) Ke-14 lalu.
Berucap di Perasmian Persidangan Perwakilan Tri-Tahunan (TDC) Ke-5 PRS hari ini Abang Johari berkata, PRS akan mendapat kerjasama erat daripada 3 lagi parti dalam komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Menurut beliau, GPS yang dibentuk oleh PRS, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Progresif Demokratik (PDP), Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) mesti menang semua kerusi parlimen pada PRU15 yang akan datang.
“Bagi PRS kita mesti rampas balik kerusi parlimen Selangau, Lubok Antu, Julau dan Sri Aman.
“Kita saling bekerjasama, PBB tolong PDP, PDP tolong PRS , PRS tolong SUPP dan kita dalam satu perahu pada pilihanraya akan datang,” katanya.
Pada sidang media selesai majlis perasmian, Abang Johari yang juga Pengerusi GPS berkata gabungan tersebut sudah bersedia untuk menghadapi PRU15.
Katanya, ia adalah seperti Pilihanraya Negeri (PRN) lepas di mana GPS melakar keputusan cemerlang menang 76 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan.
“Memang kita bersedia, kita tak tahu bila PRU15. Tetapi satu perkara dalam GPS ialah kita sentiasa bersedia seperti PRN dahulu.
“Kita bersedia tetapi secara diam diamlah, kita kerja sahaja supaya rakyat pun dapat melihat apa yang kita buat,” katanya.
Berhubung calon PRS nanti, Abang Johari berkata ia diserahkan kepada PRS sendiri untuk menentukannya.
Pada PRU-14 tahun 2018 lalu, PRS tewas di Lubok Antu setelah calon Bebas Jugah Muyang menang dengan majoriti 1,059 undi dalam pertandingan tiga penjuru.
Manakala di Julau, calon Bebas Larry Sng Wei Shien menang dengan majoriti 1,931 undi dalam pertandingan dua penjuru.
Bagi Selangau, Baru Bian yang ketika itu mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR) menang dengan majoriti 486 undi dalam pertandingan dua penjuru.
Sementara itu, PRS pada tahun 2019 kehilangan kerusi parlimen Sri Aman setelah Datuk Masir Kujat mengumumkan menyertai Parti Sarawak Bersatu (PSB).
PRS kini hanya menguasai dua kerusi parlimen iaitu Hulu Rajang (Datuk Wilson Ugak Kumbong) dan Kanowit (Datuk Aaron Ago Dagang). — DayakDaily