Proton Saga FL hilang disyaki dicuri ditemui semula, polis tahan dua suspek

Polis menahan dua suspek yang disyaki terlibat dalam kes mencuri sebuah kereta.

MIRI, Mac 1: Selepas empat hari sebuah kereta Proton Saga FL dilaporkan dicuri, kenderaan tersebut akhirnya ditemui semula petang semalam.

Kenderaan berwarna perak yang dilaporkan hilang disyaki dicuri di Rumah Aji, Sungai Selepin Bawah, Bakong itu dijumpai semula oleh sepasukan anggota polis di kawasan lampu isyarat Taman Tunku di sini pada pukul 3.10 petang.

Seorang jurucakap polis berkata, polis turut menahan dua lelaki masing-masing berusia 31 dan 36 tahun.


Katanya, semasa tangkapan dan rampasan dilakukan, tiada sebarang kekerasan dan kerosakan berlaku.

“Kedua-dua suspek telah dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jurucakap sama menambah, pemilik kereta yang berusia 37 tahun telah dimaklumkan dengan penemuan Proton Saga FL itu.

“Kejayaan menahan kedua-dua suspek berjaya menyelesaikan kes curi kenderaan yang dilaporkan hilang pada 24 Februari lalu,” ujarnya lagi. – DayakDaily