Projek yang dibatalkan di Marudi akan diteruskan, guna dana kerajaan negeri — Penguang

Penguang (enam dari kiri) merakamkan bersama masyarakat Cina di Dewan Suarah Baram.

MARUDI, Julai 3: Semua projek yang telah dirancang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Marudi akan diteruskan dengan menggunakan peruntukan kerajaan negeri.

Menteri Muda Kerajaan Tempatan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi, Datu Dr Penguang Manggil berkata, beberapa projek seperti pembinaan Tebingan Marudi yang diluluskan oleh kerajaan pusat sebelum ini tetap akan diteruskan.

Katanya, peruntukan daripada kerajaan negeri ini akan digunakan bagi tujuan projek pembinaan tebingan berkenaan.

“Meskipun kerajaan pusat yang diterajui Pakatan Harapan (PH) membatalkan projek tersebut, tetapi kerajaan negeri akan meneruskan juga projek itu dengan menggunakan dana sendiri.

“Begitu juga dengan projek Jambatan Marudi, pembinaan jalan dari Marudi ke Long Terawan, benteng Sungai Baram dan hab pertanian turut diteruskan dengan kos pembinaan menggunakan dana kerajaan negeri ini,” katanya semasa merasmikan Majlis Makan Malam Jalinan Kasih anjuran Persatuan-Persatuan Cina Bersekutu Baram di Dewan Suarah Baram.

Turut hadir adalah Presiden Persatuan-Persatuan Cina Bersekutu Sarawak, Hii Teck Yun, ketua-ketua masyarakat dan ketua-ketua kaum Cina Daerah Marudi.

Sementara itu, Penguang meminta masyarakat Cina di DUN Marudi supaya terus memberi sokongan kepada kerajaan negeri.

Jelasnya, sokongan padu amat perlu untuk memastikan kelangsungan pembangunan serta kemajuan di Marudi dan Parlimen Baram khasnya.

“Kerajaan negeri memerlukan kekuatan daripada semua lapisan masyarakat termasuk kaum Cina untuk terus melakukan perubahan.

“Ia hanya boleh dicapai jika semua pihak bermuafakat dan sentiasa mempertahankan hubungan bersatu padu.

“Dari segi sejarah, kita dapat melihat bagaimana permuafakatan yang dicapai telah membolehkan setiap kaum tanpa mengira Melayu, Iban, Cina serta kaum-kaum lain membangunkan negeri ini,” katanya. — DayakDaily