Awang Tengah: GPS fahami keperluan dan kehendak rakyat Sarawak

Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan

LAWAS, Julai 3: Kerajaan negeri Sarawak sentiasa memberi perhatian kepada semua kaum tanpa batasan dalam usaha membawa pembangunan secara menyeluruh kepada rakyat di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, semangat kerjasama dan perpaduan dalam kalangan rakyat merupakan kekuatan yang ada bagi memastikan Sarawak kekal aman dan terus membangun.

Katanya, perubahan politik semasa juga menyaksikan kerajaan negeri terus menjadi sebuah kerajaan yang kukuh dan berdiri atas kaki sendiri menerusi penubuhan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“GPS merupakan gabungan sepenuhnya empat parti di negeri ini dan mampu memahami kehendak rakyat Sarawak secara mendalam berbanding orang luar.

“GPS akan memberi tumpuan penuh terhadap rancangan-rancangan pembangunan di negeri ini bagi memastikan rakyat terus terbela,” katanya semasa Majlis Ngiling Bidai di Kampung Meragang di sini.

Awang Tengah menambah, kerajaan negeri akan terus menjalinkan kerjasama dengan kerajaan persekutuan di bawah Pakatan Harapan (PH) demi kelangsungan perjuangan hak-hak negeri Sarawak.

Katanya, perubahan dalam landskap politik di negara ini tidak menghalang kerajaan negeri untuk terus membawa pembangunan terutamanuya di kawasan luar bandar.

“Keperluan pembangunan untuk rakyat akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat mengikut keperluan semasa.

“Ini kerana GPS lebih memahami keperluan rakyat Sarawak berbanding parti daripada Semenanjung” ujarnya lagi.

Pada Jun 12 lalu, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah mengumumkan keputusan keluar dari Barisan Nasional (BN) dan membentuk GPS berkuat kuasa serta-merta.

Keputusan sebulat suara empat parti iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) keluar BN dengan menubuhkan GPS adalah demi ‘survival’ politik dan kelangsungan pembangunan untuk rakyat di negeri ini.

Keputusan berkenaan dilakukan selepas mengambil kira perkembangan politik semasa khususnya selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada Mei 9 lalu.

GPS yang dibentuk akan bekerjasama dengan kerajaan persekutuan untuk kepentingan nasional serta kepentingan negeri berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan Persekutuan Malaysia.

Dalam PRU14 lalu, BN berjaya menang 19 daripada 31 kerusi Parlimen di Sarawak dengan PBB menang 13 kerusi sementara PRS (3), PDP (2) dan SUPP (1). — DayakDaily