Projek rintis pengurusan sisa pepejal luar bandar dilaksana tahun ini

Rina di sidang media selepas merasmikan kampus INFRA Cawangan Sarawak di Kota Samarahan.

Oleh Chris Bishop

KOTA SAMARAHAN, Mac 25: Kementerian Pembangunan Luar Bandar akan melaksanakan projek rintis pengurusan sisa pepejal di luar bandar tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Rina Harun berkata kementerian memandang serius isu pencemaran alam sekitar di luar bandar dan perlu mencari penyelesaian bagi menangani isu ini.


“Sebagai kerajaan kita tak boleh salahkan penduduk kampung, kita mesti cari jalan penyelesaian untuk isu ini.

“Projek rintis akan kita laksanakan pada tahun ini dan ada juga kampung yang telah adakan program pengurusan sisa pepejal ini seperti di Melaka.

“Pihak kementerian akan mencari modul terbaik agar isu pengurusan sampah ini dapat kita selesaikan dan akhirnya mengelakkan pencemaran alam sekitar,’kata beliau pada sidang media selepas merasmikan Kampus Institut Kemajuan Desa (Infra) Sarawak di Kota Samarahan hari ini.

Tambah Rina, penduduk di luar bandar cenderung membuang sampah ke dalam sungai dan merupakan masalah utama kepada mereka.

“Di kawasan bandar, isu ini diselesaikan oleh pihak berkuasa tempatan tetapi di luar bandar isu ini diselesaikan penduduk sendiri.

“Dengan itu, kemungkinan berlakunya pencemaran alam sekitar dan sebagainya,” kata beliau.

Sehubungan dengan itu, Rina menegaskan yang kementerian akan mengadakan kerjasama dengan majlis daerah dan pihak swasta untuk mencari jalan penyelesaian.

Pihak kementerian akan mengadakan projek rintis ini di beberapa kampung yang akan diumumkan kemudian, tambah beliau. — DayakDaily