Projek pengawalan hakisan pantai di Kampung Batu Satu dijangka siap tahun hadapan

Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin (tiga dari kiri) bersama kontraktor melakukan lawatan ke tapak projek.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 16 April: Derita nelayan di sekitar Kampung Batu Satu di Kuala Baram setiap kali musim tengkujuh tiba bakal berakhir, apabila projek pengawalan hakisan pantai siap pada tahun hadapan.

Dengan terbinanya projek pengawalan hakisan pantai ini, ia dijangka menyelesaikan masalah hakisan pantai dan ombak besar ketika musim tengkujuh.


Menjelaskan perkara ini pada Jumaat ketika lawatan ringkas ke tapak projek, Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin berkata, projek yang diluluskan ketika era Barisan Nasional (BN) ini menelan belanja sebanyak RM17.38 juta.

“Projek ini dijangka siap pada 15 November 2022, dan kita berharap ia dapat disiapkan mengikut jadual,” katanya kepada pemberita.

Projek ini merangkumi pembinaan benteng pemecah ombak, ‘groin’ dan tanjakan konkrit.

“Tahun lepas, semasa fenomena air pasang besar, banyak bot-bot nelayan telah dihanyutkan ke daratan hingga ada yang berada ditengah-tengah jalan raya, dan ini menyebabkan banyak kerosakkan,” ujar Lee.

Benteng hakisan hakisan yang dibina adalah sepanjang 1km, sementara pemecah ombak sejauh 180meter ke dalam laut.

Cadangan pembinaan projek hakisan ombak tersebut dibuat susulan permintaan nelayan dan penduduk kampung berkenaan yang terpaksa mengharungi keadaan ombak besar.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Lee turut mengarahkan pihak Lembaga Sungai-sungai Sarawak (LSS)untuk melakukan kajian dengan segera bagi pemasangan isyarat keselematan kepada nelayan yang melalui kawasan berdekatan pembinaan benteng tersebut ,memandangkan terdapat banyak batu-batu besar di dalam perairan berhampiran.

“Pihal LSS akan melakukan kajian dan kertas cadangan hasil daripada itu nanti akan diberikan kepada kontraktor untuk dilaksanakan,” kata Lee. — DayakDaily