Projek pembinaan Pusat Latihan Rela Sarawak di Sematan masih diteruskan

Roslan (kiri) dan Rini (dua dari kiri) menyampaikan Insuran Berkelompok Rela/ Khairat Kematian kepada waris anggota Reka di Ibu Pejabat Rela Sarawak.

KUCHING, Mei 26: Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) Sarawak mengesahkan projek pembinaan Pusat Latihan Rela Sarawak di Sematan masih diteruskan kerajaan dan tidak dibatalkan.

Pengarah Rela Sarawak, Rini Tupong menafikan pelbagai khabar angin mengenai projek tersebut yang diperlukan bagi menjadi tempat melatih seramai 365,000 anggota rela berdaftar di Sarawak ketika ini.

“Bermacam cerita (khabar angin) yang kami dengar mengenai projek pusat latihan terbabit, tetapi saya difahamkan yang projek itu masih diteruskan dan masih akan tetap dilaksanakan,” katanya selepas Majlis Perjumpaan Yang Berbahagia Ketua Pengarah RELA Malaysia Bersama Pegawai, Kakitangan, Anggota RELA, Agensi serta Jabatan Persekutuan dan Negeri Di Sarawak, di Ibu Pejabat Rela Negeri Sarawak di Batu 2 1/2, Jalan Rock, di sini, semalam.


Majlis tersebut telah dihadiri Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Rela Malaysia, Roslan Mat Nong yang kemudian juga menyampaikan Insuran Berkelompok Rela/ Khairat Kematian kepada waris anggota Rela di Sarawak dan sumbangan Khidmat Bakti Rela kepada anak anggota Rela serta sumbangan kepada anak yatim.

Rini berkata peruntukan pembinaan pusat latihan Rela Sarawak itu juga masih ada, bagaimanapun semua perkara berkaitan pengurusan projek terbabit termasuk kos projek dan pengeluaran tendernya dilakukan pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Projek pembinaan pusat berkenaan dijangka mengambil masa tiga tahun bagi disiapkan dan dijangka tendernya akan dikeluarkan tidak lama lagi. Jadi kalau tendernya keluar bulan Ogos tahun ini bermakna pusat itu akan siap Ogos tahun 2022,” katanya.

Selain memberikan latihan kepada seramai 365,000 ahli Rela di Sarawak dari 33 pejabat RELA daerah, pusat latihan tersebut di tapak tanah seluas 40 ekar di Sematan juga akan menjadi Pejabat Rela Daerah Lundu, jelas beliau.

Sementara itu, Rini juga mendedahkan ketika ini bayaran khidmat anggota Rela di Sarawak masih kekal pada RM6 satu jam manakala yang berpangkat Ketua Platoon Rela pula RM7.80 sejam dan maksimum mereka boleh berkhidmat 12 jam dengan kebenaran.

Katanya khidmat anggota RELA di Sarawak kini bukan sahaja menjaga majlis kenduri kahwin atau keramaian lain tetapi juga menjaga lapangan terbang kecil di pedalaman, dan kompleks imigresen, kastam, kuarantin dan keselamatan (ICQS) di pintu masuk sempadan.

Selain itu anggota Rela juga menjaga pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK), hotel, hospital, pejabat jabatan kesihatan daerah, mahkamah adat, anjung singgah dan premis pelbagai pejabat jabatan dan agensi kerajaan lain serta turut ada melakukan Rondaan Khidmat Komuniti (RKK) di 12 kampung berhampiran sempadan. — DayakDaily