Projek naik taraf jaringan benteng Pantai Asajaya dijangka siap Oktober 2022

Abdul Karim (tiga dari kiri) pada tinjauan ke projek menaik taraf jaringan benteng pantai di Asajaya. (Gambar UKAS)

KUCHING, 2 Nov: Projek menaik taraf jaringan benteng pantai di Asajaya yang melibatkan kos kira-kira RM38 juta dijangka siap pada Oktober 2022.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak merangkap ADUN Asajaya Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, projek di bawah Agensi Bersepadu Pembangunan Bahagian Samarahan (IRSDA) berkenaan melibatkan kawasan sepanjang 3.2 kilometer (km).

Menurutnya, matlamat projek tersebut adalah bagi mengelak berlakunya hakisan pantai yang boleh menjejaskan tanaman dan penduduk setempat.

“Ini kerana, apabila musim tengkujuh air laut akan melimpah dan kawasan ini merupakan kawasan jaringan benteng atau ban yang paling banyak dibina.

“Tetapi setiap tahun benteng yang dibina telah mendap dan mengalami kerosakan yang teruk kerana air melimpah terlalu kuat dan deras sehingga menyebabkan banyak tanaman penduduk kampung musnah dan rumah penduduk mengalami banjir,” katanya menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).

Beliau yang juga Menteri Belia Dan Sukan pada semalam telah mengadakan lawatan ke Projek Benteng Pantai dan Sistem Saliran Asajaya Blok 2.

Tambah Abdul Karim, projek naik taraf benteng pantai bukan sahaja di kawasan daerah Asajaya, namun juga melibatkan kawasan Sadong Jaya dan terus ke kawasan Sebangan dan Sebuyau.

Jelas beliau, kerajaan juga telah memperuntukkan dana sebanyak RM500 juta bagi membiayai kos pembinaan benteng bagi kawasan pantai dari Daerah Asajaya sehingga Sebuyau.

“Beberapa tempat telah dikenalpasti sebagai tempat limpahan air sekitar Asajaya, Sadong Jaya dan Sebuyau.

“Bagi Asajaya pula antara kawasan terlibat ialah Kampung Serpan, Kampung Reba dan Kampung Moyan di mana tempat projek pembinaan benteng pantai ini dilaksanakan,” katanya.

Hadir sama dalam lawatan tersebut ialah Pegawai Daerah Asajaya Rais Ahmat.— DayakDaily