Projek menaiktaraf sistem perparitan pusat bandaraya Kuching akan siap tahun depan

Jalan Masjid, Kuching.

KUCHING, Feb 28: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) menjangkakan projek menaiktaraf sistem perparitan sekitar pusat bandaraya Kuching fasa ketiga dan terakhir dengan kos RM7 juta akan siap sepenuhnya dalam tempoh setahun lagi bagi mengatasi masalah banjir kilat yang kerap melanda kawasan itu.

Ahli DBKU, Dato Wee Hong Seng mendedahkan yang projek terbabit telahpun dimulakan kontraktornya Sim Kui Hua Construction Sdn Bhd sejak Jan 18 lepas dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh setahun lagi atau pada Jan 17 tahun depan.

“Projek menaiktaraf sistem perparitan terbabit di sekitar Jalan Masjid, Jalan Market dan Lebuh Java dan merupakan projek fasa tiga dan yang terakhir bertujuan mengatasi masalah banjir kilat yang sering berlaku di pusat bandaraya Kuching,” katanya ketika menghadiri sesi taklimat dan dialog mengenai projek terbabit, di sini, hari ini.


Wee (kiri) mendengar soalan dari orang ramai yang menyertai sesi taklimat mengenai projek naiktaraf sistem perparitan pusat bandaraya Kuching.

Wee berkata projek terbabit adalah bagi membina cabang parit konkrit sehingga selebar tiga meter dibawah permukaan jalan sepanjang Jalan Masjid, Lebuh Java dan sebahagian Jalan Market.

Pihaknya berharap pembinaan parit konkrit terbabit akan mengatasi masalah banjir kilat yang kerap berlaku terutamanya ketika musim tengkujuh yang sebelum ini bukan sahaja menjejaskan perniagaan di kawasan itu tetapi juga menyebabkan banyak kerosakan infrastruktur.

“Ketika perlaksanaan projek, saya telah memohon pihak kontraktor mempamerkan kepada orang ramai talian DBKU Hotline dan juga nombor telefon pegawai yang bertanggungjawab bagi pihak kontraktor,” katanya.

Disamping ini berikutan lokasi projek melibatkan jalan utama di pusat bandaraya ini, DBKU telah mewajibkan kontraktor membuat perancangan rapi mengenai pengurusan trafik di tapak projek ini bagi menjamin keselamatan orang ramai terutamanya penguna basikal dan pejalan kaki. — DayakDaily