Oleh Chris Bishop
KUCHING, 30 Jun: Projek pembinaan Jalan Sungai Maong ke Segedup apabila siap kelak akan membantu menyelesaikan masalah kesesakan trafik di Matang dan Batu Kawa.
Menurut Timbalan Ketua Menteri Tan Sri James Masing, projek tersebut dijangka siap pada bulan Januari 2022.
“Kita harap jalan ini nanti akan menyediakan perhubungan yang lancar, selamat dan pantas kepada penduduk yang tinggal di sekitar Sungai Maong, Segedup dan Satok dan juga kepada pengunjung.
“Jalan ini bukan sahaja akan memberi pengalaman pemanduan yang lebih baik , tetapi turut memberi manfaat sosio-ekonomi dan untuk tempoh panjang ia memberi manfaat kepada penduduk di sekitarnya serta pembangunan secara keseluruhannya,” katanya.
Masing berkata demikian pada ucapan aluan di Majlis Pecah Tanah Projek Jalan Segedup ke Sungai Maong yang dirasmikan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hari ini.
Projek tersebut merupakan inisiatif kerajaan negeri di Bahagian Kuching.
Masing yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan berkata, objektif utama projek berkenaan ialah membina jalan baharu berstandard U3 JKR.
Ia melibatkan kerja menaik taraf jalan kampung sedia ada sepanjang kira-kira 600 meter.
“Laluan akan bermula dari bulatan Datuk Temenggung Tan Meng Chong dan melibatkan pembinaan jalan sepanjang 3.6km.
Ia termasuk pembinaan dua buah jambatan konkrit merentasi Sungai Maong (80m) dan Sungai Pedada (54m),” kata Masing. — DayakDaily