Abang Johari: Perumahan mampu milik bakal dibangunkan di Segedup dan Sungai Maong

Abang Johari (kiri) pada Majlis Pecah Tanah Projek Jalan Segedup ke Sungai Maong.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 30 Jun: Kawasan Segedup dan Sungai Maong bakal dibangunkan dengan perumahan mampu milik, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Menurut beliau, projek perumahan tersebut bakal bermula sebaik sahaja selesai pembinaan jalanraya yang menghubungkan kedua-dua kawasan.


“Kita telah merancang dan bakal menjadi kenyataan bahawa Segedup dan Sungai Maong akan dihubungkan dengan jalanraya.

“Fasa kedua nanti, kita dapat merancang pembangunan perumahan yang mampu dibeli di kawasan ini,” katanya pada Majlis Pecah Tanah Projek Jalan Segedup ke Sungai Maong di sini, hari ini.

Projek tersebut dijangka siap pada bulan Januari 2022 dan melibatkan pembinaan jalan sepanjang 3.6km bermula daripada bulatan Temenggong Tan Meng Chong.

Ia termasuk pembinaan dua buah jambatan konkrit merentasi Sungai Maong (80m) dan Sungai Pedada (54m).

Menurut Abang Johari, projek perumahan itu nanti akan mengikut modul perumahan di Sungai Midin, Santubong dan Kemuyang di Sibu.

Katanya, ia akan dilengkapi dengan pelbagai infrastruktur dan akan dihubungkan terus ke e-Mart Matang di Petra Jaya.

“Siap kelak, ia mampu mengurangkan kesesakan trafik di Jalan Batu Kawa,” ujar Abang Johari.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Tan Sri James Masing, Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Dr Sim Kui Hian. — DayakDaily