Projek Jalan Ngungun ke Jagau di Kanowit kini 12.20 peratus siap — Aidel

Aidel Lariwoo

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 23 Mei: Cadangan pembinaan Jalan Ngungun ke Jagau di Kanowit sepanjang 7.22km kini sedang dalam pembinaan, kata Timbalan Menteri Infrastruktur Dan Pembangunan Pelabuhan Aidel Lariwoo.

Menjawab soalan Adun Ngemah Anyi Jana di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini, Aidel berkata status projek kini ialah 12.20 peratus berbanding 24.88 mengikut jadual.


“Ia adalah sebahagian daripada projek pembinaan Jalan Nanga Ngungun ke Nanga Jagau, Kanowit yang dibahagikan kepada tiga seksyen,”katanya.

Menurut Aidel, Seksyen 1 melibatkan projek menaiktaraf Jalan Nanga Ngungun ke Nanga Bat, Kanowit sepanjang 5km.

Manakala Seksyen 3 melibatkan projek membina Jalan Nanga Pera ke Nanga Jagau, Kanowit sepanjang 8km.

“Bagi Seksyen 1 dan Seksyen 3, pihak Jabatan Kerja Raya Sarawak masih menunggu kelulusan permohonan bagi pertukaran skop dan nama projek daripada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB),” ujar Lariwoo.

Pada persidangan yang sama, Timbalan Menteri di Pejabat Premier Sarawak Jefferson Jamit Unyat berkata, kerajaan sedang menjalankan kajian untuk menstruktur dan menaiktaraf Mahkamah Bumiputera Sarawak.

Tujuan kajian adalah untuk menyediakan satu Pelan Induk untuk mentransformasikan Mahkamah Bumiputera Sarawak kepada satu institusi kehakiman yang bebas dan berautonomi seperti Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah.

“Pada masa ini kajian adalah pada peringkat akhir di mana pihak kerajaan Sarawak sedang dalam proses untuk meneliti dan mengkaji syor-syor yang disarankan oleh pihak konsultan,” katanya sebagai menjawab soalan Adun Bukit Semuja John Ilus. — DayakDaily