Sambutan ulang tahun kelahiran ke-86 Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud meriah

Taib (tiga dari kanan) bersama Raghad memotong kek ulang tahun kelahiran di majlis tersebut.

KUCHING, 23 Mei: Majlis sambutan ulang tahun kelahiran ke-86 Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berlangsung meriah di sebuah hotel di sini pada malam Sabtu (21 Mei).

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), majlis bermula pada jam 8.30 malam dengan ketibaan Taib bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib yang disambut oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Majlis ulang tahun berkenaan diserikan dengan persembahan nyanyian dan upacara memotong kek hari jadi serta pulut kuning.


Pada majlis itu juga, bekas Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Patinggi Dr George Chan Hong Nam semasa menyampaikan ucapan khas berkata, Taib merupakan seorang pemimpin yang bertanggungjawab dalam mengutamakan nilai perpaduan antara kaum serta mempertahankan keamanan dan keharmonian di Sarawak.

“Perpaduan antara kaum adalah kunci kepada kemajuan dan kestabilan negara.

“Justeru itu, beliau telah melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh komited dan dedikasi untuk menjamin keharmonian di Sarawak,” katanya.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar. — DayakDaily