Projek internet berkelajuan tinggi Sebauh beri manfaat kepada penduduk di 63 rumah panjang – Zaidi

Pegawai SMA memberikan taklimat semasa kawatan kerja abang Johari ke tapak projek di Rumah Layuh, Ulu Segan di Sebauh.

KUCHING, 17 Sept: Projek Sebauh Rural High-Speed Open Broadband Network (MySRBN) telah mencapai kejayaan dan membekal internet berkelajuan tinggi kepada penduduk di 63 buah rumah panjang di Sebauh.

Menurut Pengurus Besar Sarawak Multimedia Authority (SMA) Dr Zaidi Razak, projek merupakan idea Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang diketengahkan pada tahun 2018.

Katanya, projek telah diluluskan pada tahun 2019 dengan peruntukan RM13 juta dan mula dilaksanakan pada tahun 2020.


“Abang Johari telah memberikan tugasan kepada SMA, bagaimana kita boleh menyediakan internet berkelajuan tinggi kepada masyarakat luar bandar.

“Bermula daripada itu, kita berfikir bagaimana hendak membawa fiber iaitu bawa program internet berkelajuan tinggi kepada masyarakat luar bandar,” katanya.

Ucapan Zaidi dibaca pegawai SMA yang mewakili beliau di sesi taklimat semasa lawatan Abang Johari ke tapak projek di Rumah Layuh, Km20 Simpang Ulu Segan di Sebauh , Bintulu.

Tambah Zaidi, Kerajaan Sarawak mengambil satu langkah berani dengan melaksanakan projek MySRBN yang berkemungkinan akan gagal.

Ujar beliau, projek tersebut yang membawa fiber (internet) tidak pernah dilaksanakan di Semenanjung Malaysia.

“Walaupun pelaksanaan projek ini agak lambat kesan pandemik Covid-19, sekarang penduduk di 63 buah rumah panjang boleh menikmati kemudahan internet berkelajuan tinggi.

“Internet ini juga menyediakan kemudahan kepada pelajar di SK Ulu Segan, SK Silas, SMK Sebauh dan pejabat daerah Sebauh.

“Perkhidmatan internet berkelajuan tinggi ini disediakan 24 jam dengan tiada gangguan. Setakat ini seramai 2,628 pengguna berdaftar di Sebauh menggunakan perkhidmatan ini,” ujar Zaidi.