Projek Hospital Petra Jaya disambung tahun 2021

Datuk Aaron Ago Dagang (file photo)

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 24 Ogos: Projek menyiapkan baki kerja terbengkalai Hospital Petra Jaya kini berada di fasa perolehan kepada para petender yang telah lulus di peringkat pra kelayakan dan tarikh tutup tender ialah pada 7 Ogos 2020.

Timbalan Menteri Kesihatan II Datuk Aaron Ago Dagang berkata, projek kini berada dalam peringkat penilaian tender dan Surat Setuju Terima (SST) dijadualkan pada Januari 2021.

“Projek dilaksanakan secara Tender Terbuka oleh JKR (Jabatan Kerja Raya) Malaysia. Taklimat tender dan lawatan tapak telah berlangsung pada 12 Februari 2019 dengan tender ditutup pada 24 April 2019.

“Walau bagaimanapun, disebabkan tiada petender yang layak, maka Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) melalui surat pada 26 Ogos 2019 memutuskan supaya projek ini ditender semula secara Tender Terbuka di kalangan syarikat yang berdaftar dengan CIDB (Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia) dan mempunyai Kod Bidang B29 serta mempunyai Sijil Kontraktor Penyiap bagi pelaksanaan projek terbengkalai sebelum ini,” kata Aaron.

Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Dewan Rakyat hari ini sebagai menjawab soalan MP Bandar Kuching Kelvin Yii yang bertanya status projek tersebut.

Projek Hospital Petra Jaya dilaksanakan oleh JKR Malaysia dengan Fasa Pembinaan bermula pada 30 Mei 2013 dan dijadualkan siap pada 30 Jun 2018.

Walau bagaimanapun, berikutan prestasi kemajuan projek yang tidak memuaskan, JKR Malaysia telah mengeluarkan Notis Penamatan Pengambilan Kerja Kontraktor kepada Zecon Berhad pada 2 Ogos 2018.

Berhubung Projek Klinik Kesihatan Tabuan Jaya, Aaron memaklumkan bahawa projek telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) tahun 2016 dengan anggaran kos projek adalah RM40 juta.

Projek itu, katanya, akan dilaksanakan secara tender terbuka oleh JKR Sarawak.

“Proses perolehan projek ini telah dilaksanakan di mana tarikh tutup tender adalah pada 25 Februari 2019.

“Walau bagaimanapun, Lembaga Tender Pusat Persekutuan Sarawak (FCTB) pada 15 Januari 2020 menetapkan agar projek ditender semula.

“Ini kerana, kelewatan surat persetujuan pelanjutan tempoh sah laku tender daripada petender yang berjaya,” ujar beliau.

Menurut Aaron lagi, jangkaan tender terkini adalah pada Ogos 2020 yang mana tarikh jangka SST projek ini adalah pada Disember 2020 dan dijangka mengambil masa 30 bulan untuk dibina. — DayakDaily