Medac sedia insiatif bantu usahawan ke arah digitalisasi

Dato Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar

KUCHING, 24 Ogos: Medac telah menyediakan pelbagai kursus dan program berkenaan pendigitalan perniagaan.

Menterinya Datuk Seri Wan Junaidi berkata, ia disediakan khusus kepada usahawan-usahawan yang berminat untuk mengembangkan perniagaan atau bertukar konsep perniagaan mereka sedia ada kepada platform eDagang.

Wan Junaidi yakin jumlah peratusan usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang berpindah kepada platform eDagang ini masih boleh dipertingkatkan lagi, terutamanya usahawan-usahawan PKS di kawasan luar bandar dan usahawan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.


“Bagi membantu lebih ramai usahawan dalam aplikasi digital, SME Corp Malaysia telah menjalankan ‘Program Micro Connector’ dan ‘Women Netprenuer’.

“’Program Micro Connector’ melalui Warong Rider merupakan platform servis penghantaran makanan dan barangan yang dapat membantu golongan belia, peniaga dan penjaja kecil di seluruh Malaysia bagi memasarkan pelbagai produk di kawasan setempat. Seramai 3,000 rider dijangka dapat dilahirkan di bawah program ini.

“Manakala ‘Women Netprenuer’ merupakan sesi bengkel bagi membantu dan menggalakkan golongan wanita untuk menjalankan perniagaan dalam talian. Seramai 1,592 (dari 2017 hingga 2019) wanita telah mendapat manfaat daripada bengkel tersebut,” kata Wan Junaidi.

Dalam pada itu, beliau juga telah meminta Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) dan semua agensi-agensi di bawah kementerian untuk memikirkan, meneliti inisiatif baru dan melaksanakan program-program tambahan bagi membantu serta meningkatkan lagi jumlah usahawan eDagang.

Untuk mengadaptasi ekonomi digital secara menyeluruh, kata Wan Junaidi, PKS mesti melakukan kejuruteraan semula perniagaan dengan memastikan strategi, proses dan infrastruktur perniagaan mereka sejajar dan bersepadu untuk menyokong transformasi digital.

“Melangkah ke hadapan, ICT mempunyai peranan yang besar untuk menggandakan pertumbuhan PKS bukan sahaja melalui peningkatan dalam kecekapan dan produktiviti, tetapi juga dalam memperluas jangkauan pasaran mereka,” ujar beliau. — DayakDaily