Projek hidro elektrik Baleh siap 2027, wujud 3,500 pekerjaan — PM

Ismail Sabri (tengah) memetik sape sebagai gimik simbolik pelancaran penutupan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia. Turut Kelihatan Abang Johari (dua kiri).

KUCHING, 7 Ogos: Pembinaan stesen jana kuasa hidroelektrik ketiga di Baleh dijangka siap pada tahun 2027.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Empangan Baleh berkapasiti 1,295 MegaWatt (MW) akan dapat menampung permintaan hidroelektrik di kawasan sekitar.

“Selain itu, empangan ini turut mewujudkan 3,500 peluang pekerjaan kepada penduduk setempat,” katanya di Majlis Penutupan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Dataran Perayaan, Petra Jaya di sini, hari ini.


Hadir sama Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Dalam pada itu Ismail Sabri berkata, Kerajaan juga komited dalam menyelesaikan masalah banjir di negara ini.

Katanya, ia termasuk projek tebatan banjir di negeri ini untuk Rancangan Tebatan Banjir Sibu (Fasa 3) Lembangan Batang Rajang.

“Kesemua projek ini melibatkan peruntukan sebanyak RM15 bilion bagi tempoh lapan tahun iaitu dari tahun 2023 hingga 2030 di bawah RMKe-12,” ujar Ismail Sabri.

Ismail Sabri turut berkata bahawa menerusi RMKe-12, Kerajaan telah menetapkan sasaran sifar miskin tegar pada akhir tahun 2025 melalui Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) yang turut melibatkan Sarawak.

Jelas beliau, Fasa pertama BMTKM di Sarawak melibatkan empat lokaliti iaitu Gedong, Kampung Seberang Sebuyau,Kampung Spaoh dan Pakan.

“Selain BMTKM, seramai 867,967 Keluarga Malaysia di Sarawak telah menerima manfaat menerusi inisiatif Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang melibatkan peruntukan sebanyak RM745 juta, ” katanya. — DayakDaily