Program Pengedaran Barang Perlu beri manfaat kepada setengah juta rakyat Sarawak — PM

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Foto: Ukas

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 7 Ogos: Sebanyak RM125 juta ataupun lebih 62 peratus daripada peruntukan keseluruhan RM200 juta Program Pengedaran Barang Perlu dilaksanakan di Sarawak.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia memberi manfaat kepada 500,000 penduduk negeri.


Katanya, program melibatkan 112 zon merangkumi 538 kawasan pengedaran.

“Ini bagi membolehkan penduduk di kawasan pedalaman atau luar bandar menikmati tujuh harga barangan keperluan asas pada harga yang sama di bandar,” katanya.

Ismail Sabri berkata demikian di Majlis Penutupan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Dataran Perayaan, Petra Jaya di sini, hari ini.

Hadir sama Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menurut Ismail Sabri, Kerajaan menyedari perbezaan harga barangan yang ketara antara bandar dan pedalaman di enam buah negeri terutama di Sarawak.

Berikutan itu katanya, Program Pengedaran Barang Perlu atau lebih dikenali sebagai Program Penyeragaman Harga dilaksanakan dengan peruntukan RM200 juta.

Barangan tersebut ialah gula putih, tepung gandum kegunaan am/bukan kegunaan am, minyak masak sawit, beras putih, gas petroleum cecair (LPG), petrol RON95 dan diesel. — DayakDaily