Projek ‘Feed The Hunger’ bantu 450 keluarga di Miri

Ahli-ahli Kelab Lion di sekitar Miri menjayakan Projek ‘Feed The Hunger’ bagi membantu mereka yang memerlukan.

KUCHING, 2 Ogos: Agihan bantuan makanan menerusi Projek ‘Feed The Hunger’ telah membantu 450 keluarga di kawasan Miri, Batu Niah dan Marudi.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), projek tersebut dilaksanakan Lions Club International of District 308-A2 Past District dengan kerjasama dua Lions Clubs dari Brunei Darussalam.

Agihan pertama bantuan makanan telah dilaksanakan pada 25 Julai lalu di kawasan Lutong, manakala agihan kedua pada 31 Julai di Batu Niah dengan menyerahkan sumbangan kepada 48 keluarga.


“Sejumlah 48 keluarga di Batu Niah yang menerima bantuan kebanyakannya merupakan Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas dan keluarga tunggal.

“Ada keluarga yang tinggal sejauh 22km turut menerima bantuan makanan ini,” kata Presiden Lions Club Batu Niah Alice Yong yang ditemui selepas menyerahkan bantuan makanan pada Sabtu (31 Julai 2021).

Sementara itu, Pengerusi Penganjur Projek ‘Feed The Hunger’ yang juga Presiden Lions Club Miri Central Yap May Kay berkata, projek ini bertujuan membantu keluarga yang memerlukan terutamanya yang hilang punca pendapatan.

Katanya, bantuan turut mengutamakan golongan yang tidak mampu menampung kehidupan seharian berikutan penularan pandemik Covid-19.

Antara Lions Club lain yang terlibat dalam Projek ‘Feed The Hunger’ ini ialah Lions Club Miri Host, Lions Club Miri Central, Lions Club Marudi Mandarin, Lions Club Miri Mandarin, New Century Lions Club of Miri Resort City.

Turut serta Lions Club Batu Niah, Lions Club Lambir Miri, Lions Club Lutong, Lions Club Miri Seahorse, Lions Club Miri Centennial, Lions Club Bandar Seri Begawan dan Lions Club Belait. — DayakDaily