11 leka berjudi daun terup ditangkap

Kelihatan keadaan semasa serbuan yang dibuat semalam (1 Ogos 2021).

KOTA PADAWAN, 2 Julai: Sebelas lelaki warga tempatan ditangkap sedang leka berjudi di sebuah premis di Jalan Arang, awal pagi semalam.

Difahamkan, kesemua suspek berusia 22 hingga 77 tahun terbabit tidak menyedari kehadiran polis yang menjalankan serbuan di bawah Op Dadu sekitar jam 1.15 pagi itu.

Ketua Polis Daerah Padawan Supt Aidil Bolhassan mengesahkan tangkapan tersebut.


“Serbuan dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Padawan bersama Unit Risik dan setiba di lokasi didapati kesemua suspek sedang leka berjudi dipercayai judi daun terup.

“Ekoran itu, pasukan serbuan kemudian bertindak menahan kesemua mereka untuk siasatan lanjut,” katanya.

Katanya, turut dirampas ialah beberapa peralatan perjudian temasuk daun terup dan wang tunai berjumlah RM3,720.

Hasil siasatan awal juga mendapati kesemua suspek mengaku bermain judi daun terup.

“Selain itu, lima daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan seorang lagi pernah ditangkap berkaitan dadah,” katanya.

Kesemua 11 suspek ditahan reman di bawah Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. — DayakDaily