Oleh Chris Bishop
KUCHING, 6 Julai: Beberapa projek bermasalah berkaitan Bekalan Air Luar Bandar (BALB) di Sarawak dan Sabah perlu penyelesaian segera.
Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof berkata, pertemuan dengan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan diadakan bagi memperincikan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 berhubung projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) di kedua-dua negeri.
“Memang laporan itu membabitkan KKDW, tetapi sebagai menteri bertanggungjawab saya perlu berjumpa mereka untuk mencari penyelesaian terhadap laporan audit,” kata Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Bantuan Lesen Memandu B2 (MyLesen) di Kuching hari ini.
LKAN 2/2024 yang dibentangkan di Parlimen pada Khamis lalu mendapati semakan terhadap baki peruntukan Projek BALB Sarawak dan Sabah pada 2017 dan 2020 dalam Laporan Bajet Program dan Prestasi KKDW tidak menggambarkan jumlah baki sebenar pada tempoh itu.
Audit mendapati baki peruntukan projek BALB Retikulasi Sarawak pada 2017 berjumlah RM1.24 juta.
Manakala RM4.98 juta bagi projek BALB Sabah pada 2020. — DayakDaily