Program SUKM Peringkat Sarawak 2022 pada 23 hingga 25 Sept

Dato Sri Fatimah Abdullah

KUCHING, 14 Sept: Seramai 2,000 orang pengunjung dijangka memeriahkan Program Semarak Uniti Keluarga Malaysia (SUKM) Peringkat Sarawak 2022 dengan tema ‘Merakyatkan Perpaduan Keluarga Malaysia’ di Dataran Kipas, Miri.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, SUKM akan menjadi platform integrasi sekaligus sebagai platform mengeratkan jalinan perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di peringkat akar umbi.

Menurutnya, pelbagai pengisian telah disediakan untuk menyemarakkan program selama tiga hari berkenaan iaitu pada 23 hingga 25 September depan.


“Antaranya Fun Walk, Senam Harmoni Keluarga Malaysia, Pameran UNITI Keluarga Malaysia dan Rumah KAMI merupakan program baru yang bertujuan untuk memperkenalkan etnik yang terdapat di kawasan sekitar.

“Antara yang akan diketengahkan adalah kepelbagaian makanan, baju tradisi dan keunikan etnik masing-masing. Orang ramai juga akan diberi kesempatan untuk mencuba kepelbagaian yang dipersembahkan,” katanya memetik laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menerima kunjungan hormat Pengarah Perpaduan Negeri Sarawak, Dirwana Azool di pejabatnya di sini, hari ini.

Tambah Fatimah, program berkenaan juga akan diisi dengan Majlis Jamuan Malam Berambeh Mesra, Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksana Perpaduan Negara, Lawatan ke Kampung Kuala Sibuti dan Program Semarak Uniti Keluarga Malaysia. — DayakDaily