KUCHING, 4 Dis: Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) kini diperkenalkan di Sarawak bermula hari ini, 4 Disember 2021 bertempat di e-Mart Batu Kawa.
Pelaksanaan PJKM yang dikendalikan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) diadakan sebagai inisiatif Kerajaan untuk membantu meringankan kos sara hidup rakyat terutamanya dari kalangan berpendapatan rendah.
Menurut Pengarah KPDNHEP Sarawak Dato Stanley Tan, program ini merupakan kerjasama bersama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Kementerian Kewangan.
Katanya, program ini juga dirancang untuk dilaksanakan dua kali sebulan untuk tempoh 3 bulan bermula 4 Disember 2021 merangkumi kesemua 222 kawasan parlimen.
“PJKM menawarkan pilihan kepada pengguna untuk mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian dengan harga lebih rendah daripada harga pasaran setempat,” katanya dalam kenyataan.
Antara barang-barang yang dijual semasa program ini adalah ayam, ikan, telur, sayur-sayuran, minyak masak, gula, tepung, beras dan barangan yang telah diproses.
Menurut Stanley, rakan strategik PJKM yang pertama di Kuching adalah e-Mart Supermarket.
Namun katanya, rakan-rakan strategik lain akan dijemput untuk bekerjasama di PJKM di masa depan di kawasan-kawasan parlimen lain di Sarawak yang akan ditentukan dan diumumkan kemudian.
“PJKM diharap dapat menjadi pemangkin kepada masyarakat pengguna untuk merancang pembelian dan membuat pilihan yang bijak bagi mengurangkan bebanan perbelanjaan isi rumah,”katanya. ― DayakDaily