Program Jiwa Murni platform tingkatkan hubungan ATM, masyarakat setempat

Panglima Briged Ketiga Infantri, Brigedier Jeneral Datuk Azhar Ahmad
Advertisement

Oleh Cornelius Kadir Edison

SRI AMAN, 21 Nov: Kampung Pakit A, Sri Aman menjadi lokasi pertama bagi Program Jiwa Murni berteraskan gerak saraf dan perang saraf semperna sambutan ulang tahun ke-61 Briged Ketiga Infantri Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tahun ini.

Panglima Briged Ketiga Infantri, Brigedier Jeneral Datuk Azhar Ahmad berkata, pemilihan kampung tersebut memandangkan ia  berada di kawasan zon hijau sekaligus selaras dengan saranan yang ditekankan kerajaan disamping meningkatkan perihal pematuhan Prosedur Operasi Standard dalam pencegahan wabak Covid-19.

Advertisement

“Pemilihan Kampung Pakit adalah disebabkan lokasinya yang berada berhampiran dengan Kem Pakit iaitu Pasukan 13 Rejemen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan perkara ini memberikan kemudahan terutamanya dalam aspek logistik di samping dapat mencapai objektif utama yang digariskan,” katanya

Beliau berkata, program tersebut merupakan aktiviti terancang yang dijalankan bagi mendekati, memenangi masyarakat umum dan juga pihak yang berlawanan dengan pelbagai aktiviti dirancang yang dekat dengan masyarat setempat.

Pelaksanaan program tersebut katanya secara tidak langsung berupaya meningkatkan hubungan Tentera Darat Malaysia (TDM) dengan masyarakat awam.

Brigedier Jeneral Datuk Azhar Ahmad menyerahkan bantuan keperluan asas kepada penerima di Kampung Pakit A, Sri Aman pada program Jiwa Murni.

Ia sekali gus menunjukkan komitmen pasukan keselamatan itu yang sentiasa bersedia sebagai benteng pertahanan negara dan juga memberikan keyakinan kepada masyarakat umum tentang keberadaan, kemampuan dan kesungguhan TDM untuk tugas yang lebih besar.

“Apabila keberadaan pihak tentera itu disenangi oleh masyarakat setempat, maka pelaksanaan perkara-perkara lain seperti latihan, pengumpulan maklumat dan lain-lain dapat dicapai.

“Dengan hubungan yang terjalin ini, diharapkan ianya secara tidak langsung memperlihatkan komitmen pasukan-pasukan di bawah naungan formasi ini untuk menghulurkan bantuan kepada masyarakat umum dan memastikan keberadaan kami tidak mendatangkan rasa tidak selesa ke atas mereka,” katanya.

Azhar berkata, program seumpama itu tidak akan terhenti setakat itu sahaja malah fokus seterusnya adalah di kawasan kampung yang berada di sempadan-sempadan dengan Kalimantan Barat.

Pada masa sama tegas beliau permatuhan kepada SOP oleh setiap anggota yang terlibat sentiasa di titik berat khususnya ketika berusan dengan komuniti setempat.

Aktiviti gotong royong yang disertai oleh penduduk kampung Pakit A, Sri Aman bersama anggota Batalion Ke-13 RMAD.

“Kita sentiasa menekan pematuhan SOP ini bagi memastikan setiap aktiviti berjalan dengan lancar serta memastikan setiap yang terlibat berasa selamat dan selesa dan dalam masa yang sama membantu dalam usaha untuk mencegah serta memutuskan rantaian pandemik Covid-19,” katanya. — DayakDaily

Advertisement