Lelaki maut terlibat kemalangan di Jalan Bau-Kuching.

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

BAU, 21 Nov: Seorang penunggang motosikal maut akibat kecederaan parah selepas terlibat kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Kilometer 12, Jalan Bau-Kuching, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata mangsa dikenali sebagai Mohd Zulkarnian Jemat, berusia 33 tahun, dan berasal dari Kampung Buso di sini.

Menurutnya, semasa kemalangan mangsa menunggang sebuah motosikal dari arah Bau menuju ke Kuching sekitar jam 1.20 petang.


“Kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa cuba memotong beberapa kenderaan di hadapannya dan gagal masuk kembali ke laluannya lalu bertembung dengan sebuah lori.

“Mangsa tercampak ke tengah jalan dan motosikalnya diseret lalu terkena sebuah lagi kereta di hadapan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya mangsa disahkan meninggal dunia selepas diperiksa anggota paramedik di lokasi kejadian.

“Mayat mangsa kemudian dihantar ke rumah mayat Hospital Bau untuk tindakan selanjutnya.

“Manakala pemandu lori dan kereta dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan,” kata Alexson.

Siasatan lanjut sedang dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily