Program Jiwa dan Kita Madani 20 Mei di Mydin, Petra Jaya

Program Jiwa dan Kita Madani akan diadakan pada 20 Mei 2023 di Mydin, Petra Jaya, Kuching.

KUCHING, 17 Mei: Menteri Komunikasi Dan Digital (KKD) Fahmi Fadzil akan menyempurnakan Program Jiwa dan Kita Madani pada 20 Mei 2023 di Mydin, Petra Jaya, disini.

Jabatan Penerangan Malaysia, Sarawak (JaPen) dalam satu kenyataan berkata, Program Jiwa dan Kita Madani ini berkonsepkan infortaimen.

“Program berteraskan kepada aktiviti pemasaran maklumat, advokasi, patriotik dan kenegaraan bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan kerajaan,” kata JaPen.


Pelbagai aktiviti telah dirancang untuk memeriahkan lagi Program Jiwa dan Kita Madani nanti.

Antaranya pameran Malaysia Madani oleh JaPen, pameran dan khidmat nasihat daripada pelbagai agensi iaitu Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Negara (FINAS), Telekom Malaysia, Pusat Kesihatan Bahagian Kuching.

Turut terlibat Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), PERKESO (My Future Jobs), Bank Simpanan Nasional (BSN) dan MBSB Bank Berhad.

Pada program kali ini, JaPen Sarawak turut berkolaborasi dengan Pusat Tabung Darah Hospital Umum Sarawak dengan mengadakan Kempen Derma Darah.

“Orang ramai, khususnya penduduk sekitar Petra Jaya dijemput hadir bagi memeriahkan lagi program Jiwa dan Kita Madani.

“Selain itu, turut diadakan permainan dan kuiz interaktif, persembahan hiburan bermaklumat oleh artis PENTARAMA JaPen Sarawak, Pusat Maklumat Rakyat (PMR) dan Publisiti Sambutan Perayaan 60 Tahun Sarawak Merdeka,” katanya. — DayakDaily